Sunday, November 2, 2008

Nasib Menjadi Isteri

Hey peeps!

Kami baru pindah minggu lepas.

Kami ada beli almari baju dan meja makan baru.

Bukan.

Bukan cerita perabot baru yang saya nak ceritakan.

Ini cerita bagaimana nak angkut meja makan dan almari baju dengan menggunakan kereta Kancil.

Beginilah cara-cara yang Kekasih saya guna:

1. Turunkan seat hadapan sampai bawah.
Kalau boleh cabut seat, lagi bagus.

2. Bukak boot kereta. Dan dari tempat letak tisu tu, gelongsorkan perabot perlahan-lahan terus ke tempat duduk hadapan.
Lakukan dengan hati-hati, takut nanti gear patah.

3. Tutup boot kereta.

4. Kemudian, gelongsorkan pula isteri anda yang comel di tempat duduk belakang (posisi kaki berlunjur atas seat)
Lakukan dengan hati-hati, takut nanti tulang patah.





5. Tutup pintu belakang.
Pastikan pintu di lock. Nanti kalau isteri kamu tercicir, jawapannya, bila sampai rumah kamu peluk perabot jelah.

6. Dan kemudian, pandulah Sang Kancil kamu tu macam bawak motorbot.


Sekian.

Kerana Mereka Tulang Belakang Saya

Majlis kami sederhana.

Tapi entah kenapa, memberi kesan yang sangat mendalam pada saya.

Saat yang terlalu indah untuk saya ingati.

Biarpun warna baju pengantin sebenarnya bukanlah warna kegemaran saya.

Biarlah baju pengantin bukan seperti yang saya mahu (Tetiba kat hujung baju ada rumbai-rumbai baju Saloma)

Dan seperti yang saya jangkakan, saya memang kelihatan seperti pokok krismas yang meriah.

Tidak dilupakan wajah saya di mekap macam opera.

Dan warna rambut saya tiba-tiba macam balung ayam jantan.

Biarkan...biarkan.

Apalah sangat perasan hodoh-sungguh-muka-ku-ini, jika dalam kepala otak saya , saya tahu yang;

Emak saya:

1. Buat sendiri bekas isi kerepek dalam goodie bag yang tetamu terima.. Dia buat sendiri sikit-sikit sejak awal tahun. Seribu lebih jugak la Mak buat bekas tu (dengan bantuan Hazwani)

2. Adalah wedding planner saya. Dia sentiasa berada di sisi saya. Dari saat menempah kad, ke saat mencari mak andam (harap maklum, saya heret dia pergi semua kedai mak andam di Segamat), hingga ke saat mencari kain baju nikah, dan dia juga meneman saya, ketika saya menangis depan Kadi minta izin nikah. Jika ibu-ibu lain mungkin sudah teruk saya kena bebel, Emak pula sentiasa berada di sisi saya. Menenangkan saya.

3. Dan disebabkan dia tahu betapa kalut dan serabutnya hidup saya, Emak la yang tolong ambilkan segala jenis borang yang perlu saya isi, yang menambil baju saya dari tailor, yang tolong hantar pergi dry cleaning, yang ambilkan kad kahwin saya. Dan bila saya dengan poyo bertanya ada apa yang boleh saya bantu, dia cuma cakap

"Awak jaga je diri sendiri. Benda yang lain-lain biar Emak uruskan."

Ayah saya:

1. Orang yang adalah orang yang paling excited untuk wedding ni. Excited yang akhirnya menjadi kalut (OK sekarang saya tahu la dapat perangai ni dari mana).

2. Mahu pastikan semua benda berjalan lancar, sampai Mak kata tiap kali ada meeting AJK taman , mereka semua terpaksa menyuruh Ayah jangan menyusahkan diri nak buat semua benda. Kerana AJK semua tahu tugas masing-masing. (Ni la natijah lama sangat kerja dengan kompeni Jepun agaknya. Perangai pun macam Jepun)

3. Orang yang sentiasa menghantar e mail dan sms peringatan kepada saya dengan ayat terakhir selalu berbunyi "Lakukan persiapan dari awal". (Ayah memang kenal anak perempuan dia yang satu ni)

4. Pada malam sebelum majlis, agaknya sebab terlalu penat (ada majlis marhaban dan berzanji sebelum pada malam sebelum nikah), telah tidur di atas lantai yang hanya beralaskan karpet tanpa bantal! Sedangkan saya sedap-sedap je tidur tak ingat dunia.

Adik saya yang bernama Hidayah:

1. Siap datang KL supaya saya tak memandu seorang semasa balik Johor untuk majlis kahwin.

2. Menemankan saya mencari barang-barang saat akhir, tolong saya mengemas, dan bila kala saya mahu membuat apa-apa dia akan kata "Biar Ida jelah yang buat" atau "Takpe, biar Ida amikkan". Dan kata-kata ini datang dari Adik yang saya yang selalu marah ketika kecil dahulu. Dia membuat saya sedar apa jenis kakak la saya ni, sampai sanggup marah dan bergaduh bergaduh dengan Adik sebaik Ida.

Adik saya yang bernama Hazlami:

1. Adalah orang yang membuat kerja-kerja berat. Dialah pasang lampu, angkat barang dll. Pukul 4 pagi dia pergi pacak signboard. Dan malam sebelum majlis, dia tak tidur langsung sebab jaga khemah memasak. Pukul 6 pagi dia balik muka letih , dengan rambut serabut dan baju berpeluh. Saya suruh dia tidur kejap, dan skip majlis nikah saya.

2. Walaupun dia orang yang paling penat buat kerja berat, sentiasa cuba menceriakan saya dengan lawak-lawak yang tak masuk akal sebab saya emosi tak stabil. Dia akan duduk dekat dengan saya sambil bercerita, atau memberi teka teki bahlul seperti "Kenapa penggali kubur tak pakai seluar dalam?"

Adik saya yang comel a.k.a lucky star saya yang bernama Hazwani:


1. Selalu mengsms saya untuk mengapdet seperti: Hari ni 19 hari bulan. Lagi sebulan akak kahwin. Atau: Semua benda kat rumah warna hijau, macam hutan.

2. Yang selalu menenangkan saya tiap kali saya terkulai di rumah atau meratap di depan cermin sambil meraung "Muka comot macam ni macam mana nak naik pelamin!!!?!!!". Dia akan datang sebelah saya dan selak rambut saya kemudian kata "Mana ada comot. Akak comel lah!"

3. Sehari selepas majlis adalah peperiksaan hujung tahun untuk dia. Kesian dia tak dapat belajar dengan selesa. In fact, tak dapat belajar langsung.














Terlalu banyak keringat yang mereka curahkan supaya majlis berjalan lancar. Jika nak dibandingkan dengan apa yang saya lakukan, rasanya tak sampai 10% pun.

Kawan baik saya jadi pengapit saya.


Dia telah membuat perancangan dari awal sebelum dia pergi ke Abu Dhabi; untuk tetap balik ke tanahair semasa majlis adik lelaki dia dan juga majlis saya. Dan alhamdulillah, keluarga Karin pilih tarikh betul-betul sehari sebelum majlis saya. Maka Karin dapat hadir kedua-dua majlis. Dan Karin sanggup berhari raya di Abu Dhabi untuk berada di Malaysia semasa kedua-dua majlis. Dan walaupun saya tahu, dia masih lagi penat kerana hari sebelumnya adiknya berkahwin, dia tetap berada di sebelah saya sepanjang majlis. Dan seperti biasa kami sempat juga bergossip, walaupun semasa berada di atas pelamin. Hehehe